Thursday 1 September 2011

Kursus Penyelarasan Bahan dan Pemantapan Fasilitator MBM

Kursus Penyelarasan Bahan dan Pemantapan Fasilitator MBM yang dikelolakan oleh Unit Latihan Dalam Perkhidmatan dengan kerjasama Jabatan Pengajian Melayu IPG KSAH akan diadakan seperti ketetapan yang berikut:

Tarikh : 13 - 15 September 2011
Tempat : Hotel Grand Continental, Langkawi.
Peserta : Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Jabatan Teknologi Pendidikan, dan Jabatan Sains Sosial yang telah memberi sumbangan bagi merealisasikan program MBM 2011.
Pengangkutan : Bas IPG KSAH - Jeti Kuala Perlis
Waktu Bertolak : 8.00 pagi 

Tuesday 30 August 2011

Pementasan Drama dan Persembahan Movie Maker KDP 4 Minggu Kohot 2 2011

Pementasan Drama dan Persembahan Movie Maker KDP 4 Minggu Kohot 2 2011 telah diadakan seperti yang berikut:

Tarikh : 26 Julai 2011 (Selasa)
Tempat : Dewan Munsyi IPG Kampus Sultan Abdul Halim
Masa : 9.30 pagi - 1.00 petang

Drama yang bertajuk "Delusi Rimba" telah dipersembahkan dengan jayanya oleh peserta Kursus Aplikasi Teknik Drama Kreatif  dalam P&P Bahasa Melayu (SM) manakala persembahan multimedia (movie maker) dijayakan oleh peserta Kursus Inovasi P&P Bahasa Melayu melalui TMK (SM).
Semua peserta kursus telah dibawa dengan bas IPGKSAH dari PLGDP Sungai Karangan ke Kampus IPGKSAH. Program ini telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Ahmad Shobri bin Saad (Timbalan Pengarah IPGKSAH). Guru-guru pelatih PISMP dan PPISMP major Bahasa Melayu telah dijemput sebagai audiens pementasan drama dan persembahan multimedia ini. Program ini diakhiri dengan majlis "Kenduri Pulut Durian".
Syabas dan tahniah kepada semua peserta kursus atas kejayaan mengaplikasikan teori dan pengetahuan kandungan yang diperoleh sepanjang berkursus. Sekalung budi dan setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakan program ini.

 ...mengaminkan doa memohon keberkatan majlis...

 Ucapan Perasmian
Tn. Hj. Ahmad Shobri bin Saad
Timbalan Pengarah IPG KSAH


Ucapan Tn. Hj. Ibrahim bin Bakar
Ketua Jabatan Pengajian Melayu
IPG KSAH

 
Barisan Pelakon dan Krew Bergambar Kenangan
Bersama Timbalan Pengarah dan Fasilitator


Kumpulan Inovasi P&P melalui TMK Bergambar Kenangan 
Bersama Timbalan Pengarah dan Fasilitator


gandingan mantap...


 berbakat ... 


 penyediaan props...


 latihan intensif...


 fasilitator - turun padang - sesi latihan


guru-guru pelatih teruja...


 senyuman fasilitator...


apa tu Kak Diah... sampai terbangun Kak Pah...



terhibur...ada unsur kecindan...













MBM KDP 4 Minggu Kohot 2 2011

Kursus MBM KDP 4 Minggu Kohot 2 2011 yang bermula pada 03 Julai 2011 telah melabuhkan tirainya pada 28 Julai 2011. Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Yusuf Ahmad, Pensyarah Kanan yang mewakili Pengarah IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Turut hadir ialah Tn. Hj. Ibrahim Bakar (Ketua Jabatan Pengajian Melayu), En. Aznan Mohd. Akhir (Ketua Unit LDP), dan En. Abdul Jamil Nazri (Penolong PPD Bahasa Kuala Muda/Yan).

SALAM AIDILFITRI

Salam Aidilfitri buat semua pengunjung blog ini serta Muslimin dan Muslimat di mana jua anda berada. Saya sekeluarga menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf jika ada terkasar bahasa dan tersilap kata. Raikanlah hari raya ini bersama-sama keluarga tercinta serta rakan taulan, namun begitu keselamatan di jalan raya perlu diutamakan. Hargailah nyawa anda.

Sekali lagi, ucapan tulus ikhlas daripada saya sebagai pengendali laman blog ini, SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI Maaf Zahir dan Batin.

Friday 8 July 2011

Hayati sajak "Melayu" karya Usman Awang


MELAYU
Oleh: Sasterawan Negara Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu


Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

NUKILAN
Usman Awang

Taklimat MBM KDP 4 Minggu Ambilan 2 2011 (03 Julai 2011)


Peserta kursus khusyuk mendengar Taklimat Kursus MBM KDP 4 Minggu Ambilan 2 2011 yang disampaikan oleh Penyelaras MBM, En. Suhemi Abdul. Taklimat ini diadakan di Bilik J PLGDP Sungai Karangan, Kedah Darul Aman. Seramai 24 orang guru Bahasa Melayu  dari negeri Kedah, Pulau Pinang, dan Perlis telah mendaftar sebagai peserta Kursus Inovasi P&P Bahasa Melayu Melalui TMK (SM) manakala 24 orang lagi mendaftar bagi Kursus Teknik Drama Kreatif Dalam P&P Bahasa  Melayu (SM). Kursus yang bermula pada 03 Julai 2011 akan tamat pada 28 Julai 2011. Perasmian kursus ini telah disempurnakan pada 04 Julai 2011 oleh Tn. Hj. Yusof bin Ahmad, Pensyarah Kanan yang mewakili Pengarah IPGKSAH. Majlis perasmian turut dihadiri oleh En. Aznan bin Md Akhir, Ketua Unit LDP IPGKSAH dan barisan pensyarah Jabatan Pengajian Melayu IPGKSAH.

Wednesday 15 June 2011

Mesyuarat Penyelarasan MBM KDP 4 Minggu Ambilan Julai 2011

Tarikh : 21 - 23 Jun 2011
Tempat : Hotel Tower Regency Ipoh
Agenda :
1.  Penyelarasan Pelaksanaan Kursus Inovasi P&P Bahasa Melayu Melalui TMK (SM)
2.  Penyelarasan Pelaksanaan Kursus Drama Kreatif dalam P&P Bahasa Melayu (SM)        

Semua Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu IPG KSAH dijemput hadir.

Thursday 9 June 2011

Keistimewaan Bahasa Melayu


Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi akhir zaman. Bahasa Melayu telah dipilih Allah swt sebagai alat penyebaran dakwah Imam Mahdi dan Fata-At Tamimi. Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa ibunda Imam Mahdi, Fata At-Tamimi, para Ikhwan dan para Asoib. Antara kelebihan bahasa Melayu adalah seperti yang berikut:
1.             Bahasa Melayu ialah bahasa termudah sekali bahkan lebih mudah darpadai bahasa Arab. Hal ini telah disahkan oleh warga asing yang mempelajari bahasa ini.
2.             Bahasa Melayu merupakan bahasa yang kedua terindah sesudah bahasa Arab Al-Quran. Hal ini demikian keranan bahasa  Melayu ialah bahasa puitis terutamanya ketika bermadah, terserlah keindahan bahasanya.
3.             Bahasa Melayu ialah bahasa tersopan sekali. Bahasa Melayu telah dibina sekian lama untuk tujuan ini. Bahasa Melayu telah mengalami evolusi yang panjang sehingga terbentuk suatu bahasa yang indah dan sopan.
4.             Bahasa Melayu dibina dengan dua jenis tulisan yang membantu perkembangan Islam pada zaman Imam Mahdi iaitu tulisan jawi untuk kegunaan orang Islam dan tulisan rumi bagi bukan Islam.
5.             Bahasa Melayu telah menjadi Lingua franca masyarakat nusantara walaupun di nusantara banyak bahasa yang dituturkan namun bahasa Melayu dipilih sebagai penyatu bangsa nusantara ini.
6.             Bahasa Melayu mempunyai kosa kata yang banyak hinggakan penuturnya sendiri tidak mengetahui kesemua kosa kata bahasa mereka.
7.             Bahasa Melayu merupakan bahasa yang mempunyai banyak pengertian. Sesuatu ayat boleh mempunyai pelbagai maksud mengikut keadaan. Oleh itu, bahasa Melayu dipilih untuk mengungkapkan isi Al-Quran yang mempunyai pelbagai lapisan makna itu.
8.             Bahasa Melayu merupakan bahasa bangsa bukan penjajah yang mempunyai bilangan penutur yang ramai. Jika dilihat bahasa Mandarin dan Hindi ramai yang menuturkannya kerana orang Cina dan India ramai. Bahasa Perancis, Jerman, Rusia, Sepanyol, Inggeris, dan Portugis ialah bahasa bangsa penjajah. Bahasa Arab pula banyak dituturkan kerana perkembangan Islam. Hanya Bahasa Melayu yang dituturkan oleh orang ramai tanpa sebab-sebab tertentu.

Definisi MBMMBI


DEFINISI MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

Memartabatkan Bahasa Malaysia bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
Memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

TUJUAN MBMMBI
·         Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia adalah kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
·         Tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.

STRATEGI PELAKSANAAN MBMMBI

Memartabatkan Bahasa Malaysia

Strategi memartabatkan Bahasa Malaysia meliputi perkara-perkara berikut:
·         Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia
·         Asas Berbahasa (Back To Basics)
·         Didik Hibur
·         Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum
·         Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P
·         Program Bacaan
·         Guru Bahasa Malaysia Berkualiti
·         Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif
·         Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi
·         Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara
·         Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi
Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia – Penguasaan asas kemahiran berbahasa diperkukuh melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik menerusi modul P&P.

Asas Berbahasa (Basics To Basics) – Pengukuhan asas berbahasa dilakukan secara berstruktur dan sistematik. Asas berbahasa pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis diperkukuh melalui modul P&P yang menerapkan elemen menyeronokkan dalam seni bahasa. P&P tatabahasa adalah berasaskan sistem bahasa yang betul dan dilakukan secara bersepadu dalam konteks.

Didik Hibur – Pendekatan P&P Bahasa Malaysia akan menyediakan suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai kaedah. Kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni bahasa akan disulam dengan dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan penghasilan produk.

Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum – Penggunaan sistem bahasa yang betul dalam mata pelajaran lain akan menyokong P&P Bahasa Malaysia. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipantau agar tidak menjejas standard dan mutu Bahasa Malaysia itu sendiri.
Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P – Penggunaan teknologi makluamt seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan P&P yang bersifat interaktif serta nenghiburkan. Satu portal akan diwujudkan untuk menghimpunkan bahan penulisan serta menyediakan forum bagi penggiat bahasa, para pendidik, sasterawan, pelajar serta pengguna Bahasa Malaysia untuk berbincang, mengkaji dan mencari maklumat tentang Bahasa Malaysia.

Program Bacaan – Program bacaan seperti Komponen Sastera dalam Bahasa Malaysia (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur dan NILAM diteruskan. Beberapa penambahbaikan akan dilakukan supaya pembacaan bahan sastera dapat ditingkatkan.

Guru Bahasa Malaysia Berkualiti – Guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu beropsyen Bahasa Malaysia untuk memastikan kualiti dari segi ilmu pedagogi. Guru digalakkan menghadiri kursus peningkatan profesionalisme yang memberikan pendedahan tentang perkembangan terkini ilmu pedagogi dan juga perkembangan bahasa daripada pakar dari dalam dan luar negara.

Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif – Pemantauan daripada aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan saiz kelas, serta keadaan fizikal bilik darjah dan sekolah lebih kondusif untuk P&P.

Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi – Usaha menterjemah karya agung dari Eropah, Amerika dan Asia perlu diperhebatkan. Melalui cara ini perluasan ilmu melalui pembacaan dalam Bahasa Malaysia dapat dipergiat, seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Penggunaan Bahasa Malaysia juga mestilah tekal dan mantap dalam semua urusan rasmi agar hasrat 1Malaysia terlaksana melalui identiti negara bangsa.

Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara – Satu kolaborasi yang mantap antara Malaysia dengan negara lain akan diwujudkan dengan menubuhkan kursi Bahasa Malaysia di universiti luar negara.

Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi – Pelajar yang mengikuti pengajian di universiti hendaklah diwajibkan mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat masuk.

MEMPERKUKUH PENGUASAAN BAHASA INGGERIS

Strategi memartabatkan Bahasa Inggeris meliputi perkara-perkara berikut:
·         Penambahan Masa P&P Bahasa Inggeris
·         Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Renda
·         Asas Berbahasa (Back to Basics)
·         Didik Hibur – Modul Language Arts
·         Elemen Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
·         Penetapan Model Bahasa Inggeris
·         Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Menengah
·         Sumber P&P – Makmal Komputer
·         Guru : Contact Time Berkualiti
·         Perkongsian dan Jaringan Guru
·         Kepimpinan Sekolah
Penambahan Masa P&P Bahasa Inggeris – peruntukan waktu bagi SK Tahap 1 dan Tahap 2 ditambah sebanyak 90 minit, manakala peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap 1 ditambah sebanyak 60 minit dan Tahap 2 ditambah sebanyak 30 minit. Perun tukan waktu Bahasa Inggeris bagi Tingkatan 1 hingga 6 ditambah sebanyak 80 minit dan untuk Malaysian University English Test (MUET) untuk Tingkatan 6 ditambah sebanyak 80 minit. Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah sebanyak 3 jam.
Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Rendah – Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris sekolah rendah menitikberatkan penguasaan literasi asas dan pengukuhan Bahasa Inggeris melalui pendekatan modular.
Asas berbahasa (Back to Basics) – Kurikulum Bahasa Inggeris menitikberatkan pengukuhan penguasaan asas Bahasa Inggeris dengan memberi penekanan kepada Phonics di samping menerapkan elemen pembelajaran yagn menyeronokkan dalam modul Language Arts. Pengajaran tatabahasa dalam konteks diberi penekanan khusus dalam modul tatabahasa.

Didik Hibur – Modul Language Arts menekankan aspek didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar. Bahan bacaan estetik seperti Sastera Kontemporari Kanak-kanak, bahan Bacaan Awal Berstruktur dan Bacaan Ekstensif disediakan bagi mendedahkan murid kepada Bahasa Inggeris pelbagai genre.
Elemen Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris – Kurikulum Bahasa Inggeris akan mengintegrasi elemen matematik dan sains melalui tema yang berkaitan dan akan menumpukan kepada istilah/kosa kata serta struktur ayat mata pelajaran berkenaan.

Penetapan Model Bahasa Inggeris – model Standard British English digunakan sebagai panduan supaya setiap guru dapat merujuk kepada standard yang sama dari segi sebutan, penulisan dan tatabahasa.
Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Menengah – Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris akan menggunakan pendekatan modular. Setiap komponen kemahiran bahasa mempunyai modul P&P tersendiri dan P&P tatabahasa akan diberi fokus dalam modul Grammar.
Sumber P&P – Makmal Komputer akan ditambahbaik dengan perkakasan dan perisian supaya boleh turut berfungsi sebagai makmal bahasa. Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam P&P Bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian yang sesuai.

Guru – Bagi meningkatkan contact time yang berkualiti antara guru – murid, seorang guru Bahasa Inggeris gred DG41 akan disediakan bagi membantu guru yagn mengajar kelas berenrolmen besar (contoh: kelas melebihi 35 murid) di Tahun 1 dan 2.

Perkongsian dan Jaringan Guru – sinergi dalam kalangan guru amat penting untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang P&P yang termkini dan berkesan.

Kepimpinan Sekolah – Guru Besar dan Pengetua akan diberi lebih banyak pendedahan tentang peranan mereka sebagai pengurus kurikulum. Mereka perlu memahami matlamat dan kehendak kurikulum Bahasa Inggeris dan turut merancang program yang sesuai untuk mencapai objektif yang ditetapkan. Jawatan Penyelaras BI akan diwujudkan di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah. Program seperti English Camp atau English Village akan dijalankan secara berterusan.